Translate

Thursday, December 15, 2016

1BestariNet tidak gagal - Mahdzir Khalid


http://www.astroawani.com/berita-malaysia/1bestarinet-tidak-gagal-mahdzir-khalid-123473

1BestariNet tidak gagal - Mahdzir Khalid
Menurut Mahdzir, projek 15 tahun itu, yang mempunyai tiga fasa dengan kos keseluruhan RM4.077 bilion, kini memasuki fasa kedua sejak Julai 2016. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan hari ini menafikan dakwaan beberapa pihak mengenai Projek Perkhidmatan 1BestariNet yang dikatakan gagal.

Sebaliknya, menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pemasangan peralatan bagi projek itu di kebanyakan sekolah menghadapi kelewatan berdasarkan jadual dalam kontrak kerana isu kelulusan pembinaan yang melibatkan pihak berkuasa tempatan.

"Sebanyak 8,924 dari 8,938 sekolah menghadapi kelewatan pemasangan 1BestariNet," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya kementerian turut berusaha menaik taraf kelajuan internet 1BestariNet supaya sekolah terlibat memperoleh capaian internet yang lebih stabil dengan kelajuan optimum.

Semalam, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata pihaknya akan menjalankan audit susulan terhadap 1BestariNet dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan pelaksanaan projek itu kepada sekolah terlibat.

Keputusan itu dibuat atas permintaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berikutan banyak rungutan diterima daripada pihak sekolah dan ibu bapa termasuk berhubung kadar kelajuan internet yang rendah.

1BestariNet merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan bagi mengganti dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah dengan pelaksanaan fasa pertamanya bermula 2011 membabitkan peruntukan RM663 juta.

Projek 15 tahun itu, yang mempunyai tiga fasa dengan kos keseluruhan RM4.077 bilion, kini memasuki fasa kedua sejak Julai 2016.

Sementara itu, Mahdzir berkata empat pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sibu yang didakwa dihalang menjawab kertas peperiksaan Matematik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 akan dibenarkan mendudukinya secara percuma, jika ia terbukti berlaku.

Beliau berkata pengetua sekolah berkenaan juga akan berdepan tindakan jika didapati bersalah.
Terdahulu, pada sesi perbahasan kementerian itu, Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) berkata beliau menerima laporan bapa pelajar yang mendakwa pengetua sekolah itu menghalang para pelajar terbabit menduduki peperiksaan Matematik kerana dikhuatiri menjejaskan prestasi sekolah.

Keadaan itu berlaku didakwa akibat kegagalan pelajar-pelajar itu dalam peperiksaan percubaan SPM 2016 untuk subjek Matematik sebelum ini, katanya. -- Bernama

Semua 10 pusat Tingkatan 6 Mod 1 kini dikenali sebagai Kolej Tingkatan 6

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/semua-10-pusat-tingkatan-6-mod-1-kini-dikenali-sebagai-kolej-tingkatan-6-106050


Semua 10 pusat Tingkatan 6 Mod 1 kini dikenali sebagai Kolej Tingkatan 6

Semua 10 pusat Tingkatan 6 Mod 1 kini dikenali sebagai Kolej Tingkatan 6
MAHDZIR: Kolej Tingkatan Enam ini hanya diberikan kepada pusat Tingkatan Enam Mod 1 sahaja. - Foto Bernama
KULIM: Berkuatkuasa hari ini, semua 10 pusat Tingkatan Enam Mod 1 di seluruh negara kini dikenali sebagai Kolej Tingkatan Enam, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata keputusan itu dibuat dalam usaha kementerian memantapkan imej, kualiti dan sistem pendidikan Tingkatan Enam sekali gus sebagai memberikan motivasi kepada pelajar berkenaan.

"Bagaimanapun penamaan kepada Kolej Tingkatan Enam ini hanya diberikan kepada pusat Tingkatan Enam Mod 1 sahaja.

Dengan langkah penamaan kepada kolej ini diharapkan pelajar akan lebih bersemangat untuk belajar dengan cemerlang di Tingkatan Enam ini," katanya selepas Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Taman Mahsuri di sini, Ahad.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Abdullah Mad Yunus dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah Sofaruddin Ismail,

Katanya pusat Tingkatan Enam Mod 1 mempunyai premis berasingan dengan sekolah arus perdana dan mempunyai pentadbiran tersendiri serta beroperasi dengan sekurang-kurangnya 12 kelas.

Mod 2 pula merujuk kepada pemusatan kelas Tingkatan Enam sekurang-kurangnya 12 kelas di blok berasingan di sekolah arus perdana manakala Mod 3 merujuk kepada pemusatan kurang daripada 12 kelas dan berkongsi blok di sekolah arus perdana.

Mahdzir berkata selain itu Kolej Tingkatan Enam mempunyai premis dan pentadbiran yang tersendiri, guru yang dilantik khas dan persekitaran pengajaran dan pembelajaran prauniversiti yang kondusif.

Beliau berkata pada 2020, Kolej Tingkatan Enam itu dijangka bertambah sebanyak 44 buah, pusat Tingkatan Enam Mod 2 (91 buah) dan Mod 3 (384 buah).

Sementara itu Mahdzir berkata Kolej Tingkatan Enam Taman Mahsuri ini juga nanti akan dikenali sebagai Kolej Tingkatan Enam Kulim yang kini mempunyai hampir 600 pelajar Tingkatan Enam.
Ketika berucap, beliau mahu pelajar menjadi insan yang berjaya dan mampu membawa negara ke era yang lebih gemilang.

"Kita tidak mahu ada politik kebencian dan tidak membenarkan rasis perkauman dan kementerian mahukan mereka berjaya pada masa hadapan," katanya.

Kebaikan dan Keburukan Tingkatan 6

http://syawalmuhd.blogspot.my/2015/03/kelebihan-dan-keburukan-tingkatan-6.html


Monday, 23 March 2015

Kebaikan dan Keburukan Tingkatan 6


Sudah sepenggal melalui alam persekolahan di tingkatan 6 High School Bukit Mertajam, akhirnya barulah terlintas nak mengarang sikit tentang kebaikan dan keburukan tingkatan 6 atau sekarang lebih dikenali sebagai pra-universiti berbanding dengan diploma dan matrikulasi.

Sini aq nak briefing sikit tentang Tingkatan 6 : Tingkatan 6 merupakan salah satu jalan cepat nak masuk universiti di samping matrikulasi dan asasi. Tingkatan 6 menduduki peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) iaitu peperiksaan yang dikelolakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. Badan Berkanun yang sama mengelolakan MUET (Malaysian University English Test). Rasa-rasa korang semua kalau di Singapore panggil apa ye? takkan SUET kot? hehehehe . Ok2... back to our topic.... jadi STPM ni mmg susah ya amat la ye.. Berbanding dengan peperiksaan awam yang lain seperti UPSR, PMR sekarang PT3, dan SPM yang dikelola oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kadang2 MPM dan KPM ni tak ngam dari segi sukatan pelajaran. Jadi jgn terkejut kalau ada berbeza dari yang belajar di form 5. Bukan cikgu ajar salah, tapi mmg silibus (jalan kira) x sama.

KEBAIKAN :
  • Sudah boleh berpakaian bebas/casual. (Mula tahun ini sudah dikeluarkan pekeliling oleh kerajaan. so jangan takut ada sekolah yang tak bagi pakai ke apa ke. )
  • Yuran persekolahan yang sangat murah ( High School hanya bayar untuk t-shirt rasmi dan yuran PIBG shj rasanya. Tak sampai RM300 pon.)
  • Boleh pilih sekolah ( Pilih yang paling dekat dengan rumah korang lah ye)
  • Boleh memandu kereta atau mengunggang motosikal. (Tak perlu tinggal di asrama, nak pergi kelas tak payah jalan kaki jauh, naik bukit, turun bukit, redah panas.. sampai2 depan kelas habis mekap cair boleh buat bubur.)
  • Guru yang berpengalaman. (Hanya guru yang diiktiraf sahaja boleh mengajar tingkatan 6, tak ada cikgu yang bidan terjun atau nurse terbang ye, semua sudah sangat professional sebab sangat lama mengajar).
  • Peperiksaan yang tersusah dan diterima hampir di seluruh dunia. (STPM merupakan salah satu peperiksaan yang paling susah di dunia, tambah2 apabila yang ditukarkan kepada sistem semester)
  • Senang hendak masuk ke universiti. Hanya perlu pointer CGPA 2.8 minimum. (Bukan setakat dapat ponter rendah boleh masuk, siap ada kuota untuk lepasan STPM tau)
  • Standard Tingkatan 6 setaraf A-Level (Kalau sesiapa teringin nak sambung degree di overseas yang paling dekat iaitu Singapore, lepasan STPM diterima disana).
  • Sijil STPM laku dan boleh dijadikan medium untuk mencari pekerjaan.(Matrikulasi sijil kurang diterima dalam pasaran sekarang kerana sijilnya tidak diiktiraf oleh JPA).
KEBURUKAN : 
  • Suasana yang sama seperti dahulu. (SEKOLAH)
  • Kurang glamour. (korang nak belajar ka nak glamour?)
  • Banyak PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) atau kita panggil assinment.
  • Tak boleh lari presentation. Contoh, Selepas buat PBS Pengajian Am, kena buat presetation (Semester2)
  • Kena belajar bersungguh2, tak boleh main2. sebab exam masa semak kertas soalan mmg sangat strict.
  • Nampak ambil 4 dan 5 subjek macam sikit, tapi dia punya silibus mmg panjang nak gila. Belajar ekonomi masuk sampai akaun, belajar akaun masuk sampai mathematics..

STPM Buang Masa? | Kelebihan STPM/Tingkatan Enam


https://www.blogger.com/blogger.g?blogID=8851948855276934962#editor/src=sidebar

STPM Buang Masa? | Kelebihan STPM/Tingkatan Enam

Bismillahirrahmanirrahim :)

I selaku ex-stpm op coz berapi tengok comment ni hahaha Tak comment pape sebab segala point aku dah dinyatakan oleh pengkomen yang lain.

Tapi nak senaraikan kelebihan stpm disini hihi

1- MURAH! Yuran sekolah+buku boleh dikatakan murah. Buku? Baucer buku selalunya cikgu awal2 dah mintak untuk subjek dia. 5 baucer=5subjek= HABIS! Kecuali korang yang taknak bagi baucer kat situ. Buku takdelah mahal nauu sampai beratus. At least pada umur 20 tahun bebas hutang.

2- Orang cakap STPM susah? For me semua benda susah ABC pon masa awal2 susah nak ingat. Takdenyer terus lahir reti baca ABC  kan? Yang pasti kalau malas cakap cikgu tak dengar dating memanjang online 24 hours kau masuk universiti paling bagus didunia pon kelaut jugak akhirnya.

3-Masuk degree tak kontang kanting. Time stpm banyak benda diajar nak buat assigment nak urus event semua bagai. You will learn something new from here.

4-Tak bebas sebab peraturan? Kalau kau jenis bermasalah ngan peraturan kecik celah gigi pon susah jugak hidup kat memane. Masuk universiti paling bagus kat dunia pon kalau dah asyik ponteng kelaut jugak.

5- Buang masa? Tak nampak point mana yang buang masa. Amik dip ke matrik or asasi beza dia cuma sedikit jee untuk sambung degree. Paling kurang beberapa bulan jee. Melainkan kau tangguh nak masuk degree.

6- Koko khas untuk tingkatan 6. ada satu jee yang campur dengan dak arus perdana. Tapi papehal jawatan untuk itu dan ini akan didahulukan tingkatan enam. Tak perlu nak berebut dengan dak2 yang lain hahaha Tapi ada sesetengah sekolah yang campur. Tu pepandai laa yee hahaha

Hrmm sebenarnya nak senaraikan ratusan apa yang best Tingkatan Enam ni hahaha Pilihan mana pun diploma asasi matrik tingkatan enam oversea semua ada kelebihan dan kekurangan masing2. Untuk atasi kekurangan tu boleh jee nak dengan taknak jee.

Kalau tak suka sesuatu dengan pendapat/pilihan orang lain keluarkan point yang bijak dan berilmu dengan cara yang berhikmah. Bukan dengan kelaurkan perkataan yang tak sedap didengar dan hanya dengar kata orang or ikut sedap kepala otak je. Kerana tu menunjukkan kebodohan diri sendiri tanpa disedari.

Mana satu pilihan hati: Tingkatan enam, diploma atau matrikulasi?

http://sekalibicara.blogspot.my/2011/03/mana-satu-pilihan-kalbu-tingkatan-enam.html

Khamis, 24 Mac 2011

Mana satu pilihan hati: Tingkatan enam, diploma atau matrikulasi?

Oleh Mohd Fuad Razali

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diumumkan. Sekarang anak-anak yang sudah mendapat keputusan SPM, sesetengahnya mungkin masih lagi tergaru-garu kepala - walaupun kepalanya tidak gatal - kerana pening memikirkan ke kursus pengajian apa yang hendak dipilih dan nak pergi ke universiti mana.  


Pagi ini saya terima satu emel daripada satu group berhubung kemasukan ke Tingkatan Enam dan pengajian peringkat diploma. Emel itu mencadangkan pelajar lepasan SPM memilih Tingkatan Enam berbanding diploma atas alasan berikut: 
  • Yang diidamkan pelajar selama ini adalah menggenggam segulung ijazah. 
  • Kos untuk mengikuti pengajian diploma lebih tinggi dan mahal berbanding tingkatan enam, termasuklah yuran pendaftaran dan yuran tahunan, membeli pakaian baru, makan dan minum, menyewa rumah, mkotosikal, minyak motosikal, prepaid, telefon bimbit, tambang bas berulang alik pada masa cuti, buku-buku, dan pelbagai lagi yang selayaknya sebagai seorang mahasiswi dan mahasiswa. Jika sambung Tingkatan Enam, dikatakan hampir tiada kos kerana tinggal dengan ibu bapa manakala asrama sekolah hanya caj RM1 untuk makan dan minum sehari semalam. 
  • Syarat masuk ke universiti dikatakan adalah sama ada anda ada diploma (dengan keputusan yang baik) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (dengan keputusan yang baik). Jadi, dikatakan membuang masa kerana perlukan tiga tahun untuk dapat diploma sedangkan Tingkatan Enam hanya 1 tahun 6 bulan sahaja. 
  • Pelajar lepasan STPM dikatakan lebih matang daripada lepasan diploma yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.
  • Susahnya STPM adalah pada mereka yang malas berusaha dan tidak menanamkan azam yang kuat untuk berjaya. Jangan dengar kata-kata seperti Tingkatan Enam susah, kena pakai uniform sekolah, kena aktif ko-ko dan lain-lain. Jika anda boleh dapat keputusan yang baik semasa SPM, anda juga boleh buat STPM.
      
Penulis itu juga mencadangkan, "jika anda mendapat tawaran Matrikulasi, anda pilihlah Matrikulasi kerana Matrikulasi lebih baik daripada Tingkatan Enam pula."

Saya telah memberikan pandangan berhubung perkara ini yang ingin saya kongsi di sini. Saya rasa kedua-tiganya, Tingkatan Enam, Diploma dan Matrikulasi, ada pro dan kontranya. Bergantung kepada tujuan dan situasi pelajar.Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya:

1. Tingkatan Enam - ya, belajar di sekolah kerajaan, dengan guru yang terlatih. Bila tamat persekolahan, dapat sijil STPM. Jika memenuhi kelayakan, boleh memohon memasuki program ijazah sarjana muda di universiti. Bahkan sekarang, sijil STPM diterima untuk masuk ke universiti luar negara, jika dapat keputusan cemerlang. Jika tidak layak atau terpilih ke universiti, dengan sijil STPM sudah boleh masuk pasaran kerjaya, kerana agensi kerajaan dan swasta memang mengambil pekerja dengan kelulusan STPM. Tetapi pelajaran di tingkatan enam tidak menyediakan pelajar untuk menjadi pekerja separa profesional seperti pengajian pada peringkat diploma. Walaupun kelayakan STPM dikira sama taraf dengan diploma untuk memohon memasuki program ijazah, pemegang STPM jika terus masuk pasaran kerjaya, gajinya tidak sama dengan pemegang diploma kerana pemegang diploma sudah ada ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk kerjaya.

2. Diploma - Pengajian peringkat diploma bertujuan menyediakan tenaga kerja peringkat separa profesional seperti Penolong Pengurus, Penolong Pegawai Pertanian, Penolong Jurutera. Dengan itu, pelajarannya berbeza daripada tingkatan enam, kerana ia memberikan ilmu dan kemahiran dalam bidang kerjaya tertentu. Maka sebab itu tempoh pengajiannya lebih panjang daripada tingkatan enam iaitu tiga tahun. Sesuai dengan itu, pekerjaan dan jawatan yang dipegang oleh pemegang diploma lebih tinggi daripada orang yang masuk kerja dengan hanya sijil STPM. Pengambilan ke program diploma menggunakan SPM. Jadi, ini peluang untuk mereka yang tidak memenuhi kelayakan mengikuti program khas untuk pelajar yang cemerlang dalam SPM. Namun begitu, pelajar yang cemerlang sewaktu diploma, selepas tamat pengajian ada peluang utk menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana jika penuhi kelayakan. Bahkan ada universiti yang menyediakan program khas iaitu promotion atau kenaikan khas ke ijazah sarjana muda utk pelajar diploma. Misalnya di Universiti Teknologi Mara, pelajar diploma yang berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang selama tiga semester berturut-turut ditawarkan untuk terus lompat ke semester kedua program ijazah pertama, tanpa perlu menghabiskan pengajian peringkat diploma.

3. Matrikulasi - bertujuan mempersiapkan pelajar yang cemerlang dalam SPM untuk memasuki program pengajian tertentu pada peringkat ijazah sarjana muda. Sebab itu program matrikulasi ada pengkhususannya. Contohnya Matrikulasi Sains Hayat untuk mereka yang bercita-cita mengikuti pengajian perubatan, farmasi, pergigiran. Matrikulasi Sains Fizik untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seperti Kejuruteraan. Sekarang ada Matirkulasi Perakaunan. Ada beberapa IPTA mempunyai program matrikulasi sendiri dengan tujuan yang sama. Namun berada dalam program matrikulasi sekarang bukan jaminan dapat terus masuk IPTA, kerana mereka masih perlu memohon kursus pengajian dan bersaing sama dengan lulusan STPM dan diploma. Dengan mendapat CGPA 2.0 belum tentu mereka layak masuk ke ijazah pertama. Kursus seperti perubatan, pergigian dan farmasi, menghendaki lepasan Matrik mencapai merit yang tinggi. Jika tidak tidak, minta maaf, mereka akan ditawarkan kursus lain. Sijil Matrikulasi tidak diterima sebagai kelayakan memasuki pasaran kerjaya di mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta. Jika gagal Matrik, maknanya sijil yang ada hanya SPM. Oleh kerana Matrik umtuk mempersiapkan calon masuk program ijazah, maka pengajiannya sama seperti STPM, dan bukan seperti diploma.

Jadi setiap satu ada pro dan kontranya, pilihlah yang terbaik. Tempoh pengajian dan biaya yang dikeluarkan, tidak sepatutnya menjadi isu kerana setiap saat yang diluangkan dan setiap sen yang dibelanjakan untuk pelajaran kita dan anak-anak adalah pelaburan untuk masa depan kita. Bergantung kepada peluang dan keperluan. Juga cita-cita.

Anak saya mendapat tawaran memasuki program Matrikulasi Kem Pelajaran dan Diploma Hiasan Dalaman UiTM. Dia berminat sangat dengan hiasan dalaman. Jadi, saya nasihatkan dia melupakan program Matrik dan terima tawaran ke progam diploma. Alasannya: sekurang-kurangnya selepas tamat tiga tahun, sudah ada ilmu dankemahiran dalam bidang hiasan dalaman dan boleh terus memasuki kerjaya dalam bidang itu. Selepas dapat pengalaman kerjaya, dia boleh sambung pengajian peringkat ijazah, jika mahu. Kerana biasanya pengalaman kerja turut diambil kira. Jika mendapat keputusan cemerlang peringkat diploma pula, jika ada peluang, boleh terus sambung pengajian selama dua tahun lagi di UiTM (jadi, 5 tahun juga utk dpt ijazah - 3 tahun diploma, 2 tahun ijazah). Jika dia masuk program Matrik, belum ada jaminan dia dapat program yang diminatinya, kerana dia perlu bersaing sekali lagi untuk memohon pohon masuk ke program ijazah selepas tamat Matrik.

Tapi alhamdulillah, selepas tiga semester mengikuti pengajian peringkat diploma dan berjaya mengekalkan keputusan cemerlang selama tiga semester berturut-turut,  dia ditawarkan terus lompat ke semester tiga ijazah. dan dia terima tawaran itu. Dengan itu, dia perlu menghabiskan pengajian selama tiga tahun lagi untuk mendapat ijazah - satu setengah tahun diploma + tiga tahun ijazah,  jadi 4 1/2 tahun insya Allah akan dapat ijazah.

Jadi, buatlah pertimbangan yang sebaik-baiknya. Bincang elok-elok dengan orang yang ada pengalaman. Saya setuju, ketakutan terhadap Tingkatan Enam sebenarnya tidak patut wujud, jika kita benar-benar mempunyai kemahuan dan kesungguhan. Itu hanya momokan daripada orang yang tidak berjaya sahaja. Oleh itu, bertanyalah kepada orang yang berjaya, bukan kepada orang yang gagal. Tidak ada kejayaan tanpa usaha. Setiap usaha untuk mencapai kejayaan pasti ada berdepan dengan pelbagai cabaran. Yang penting, ada kemahuan dan kesungguhan. Lambat atau cepat mencapai cita-cita, bergantung kepada kesungguhan dan usaha kita.

Kelebihan Masuk Tingkatan Enam

( http://www.cikguhailmi.com/2015/03/12-kelebihan-masuk-tingkatan-6.html)

Selepas keputusan SPM diumumkan, antara perkara yang sering menjadi pertanyaan adik-adik calon SPM adalah, apakah kelebihan naik tingkatan 6. Masing-masing cuba memikirkan strategi dan langkah terbaik bagi menentukan haluan yang lebih menjamin masa depan. Maka Tingkatan 6 adalah salah satu lagi pilihan yang tak boleh dipandang sebelah mata oleh mana-mana pihak. Jom kita tengok apa kelebihan bagi pelajar yang memilih untuk naik ke Tingkatan 6.



12 Kelebihan Naik Tingkatan 6
12 Kelebihan Masuk Tingkatan 6

01. Terus Sambung Ijazah
Ada setengah pelajar menganggap, belajar di peringkat Diploma adalah membuang masa kerana tempoh yang hampir lebih kurang sama seperti membuat Ijazah. Maka laluan Tingkatan 6 adalah sangat sesuai bagi mereka ini kerana selepas selesai STPM, dengan keputusan yang baik, maka boleh lah terus masuk ke IPT dan dapatkan segulung Ijazah selepas itu.


02. Tempoh Setahun Setengah
Dengan tempoh masa hanya setahun setengah, maka pilihan ke Tingkatan 6 juga adalah merupakan satu pilihan yang bijak kepada adik-adik pelajar. Jika diambil kira tempoh pembelajaran melalui Diploma (3 tahun) dan terus sambung ke Ijazah (3 tahun), maka melalui laluan Tingkatan 6 (1 1/2 tahun) adalah lebih menjimatkan. 


03. Kerja Kursus
Melalui sistem pembelajaran Tingkatan 6 yang baru, dengan adanya kerja kursus ini akan lebih banyak membantu pelajar. Ini kerana seperti konsep penilaian berasaskan sekolah, maka kerja kursus ini boleh dilakukan oleh pelajar dengan sebaik mungkin sebelum diberi gred yang selayaknya oleh para guru. Maka anda buatlah dengan terbaik mungkin.


04. Murid : Guru
Jika diperhatikan juga, nisbah murid per guru bagi pelajar Tingkatan 6 adalah jauh lebih kecil berbanding persekolahan biasa. Maka peluang ini boleh digunakan dengan sebaik mungkin oleh pelajar untuk mendapat tunjuk ajar yang lebih sempurna dan teliti daripada para guru. Mesti lebih pandai kan lepas nih.. ;)


05. Peluang ke IPT
Dikatakan juga, melalui Tingkatan 6, peluang untuk masuk ke IPT adalah lebih tinggi berbanding laluan-laluan lain. Sejauh mana kebenarannya tak pula dipastikan. Walaubagaimanapun ada juga kebenarannya jika diperhatikan kepada jumlah pelajar Tingkatan 6 yang diterima masuk IPT berbanding laluan lain.


06. Setaraf Diploma
Sijil STPM dengan standard peperiksaan yang tinggi, adalah setaraf dengan Diploma. STPM juga adalah peperiksaan awam yang dikendalikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. 


07. Yuran Murah
Sudah terang lagi bersuluh, bahawa yuran pengajian bagi Tingkatan 6 adalah jauh lebih murah berbanding yuran pengajian melalui laluan lain. Bagi pelajar yang mungkin kurang berkemampuan, pilihan ini adalah antara pilihan yang paling tepat, buat sementara waktu. 


08. Ulang Subjek Gagal
Disebabkan sistem peperiksaan yang sudah tidak sama, maka sistem Tingkatan 6 yang baru ini membolehkan pelajar untuk mengulang subjek yang gagal. Mungkin keadaan kurang mengizinkan pada ketika itu, maka pelajar boleh mencantikkan lagi keputusan dengan mengambil semula kertas peperiksaan yang mendapat keputusan yang kurang baik.


09. Kursus Perguruan
Melalui Tingkatan 6 juga, peluang kepada pelajar untuk dipilih bagi mengikuti kursus perguruan adalah lebih tinggi. Kesesuaian subjek dan pilihan memberikan advantage kepada pelajar Tingkatan 6 untuk diutamakan.


10. Biasiswa
Bagi pelajar yang mendapat keputusan STPM yang baik, pelajar juga lebih mudah untuk ditawarkan biasiswa belajar, termasuk untuk ke luar negara. 


11. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar
Bagi sesetengah pelajar, pilihan ke Tingkatan 6 adalah disebabkan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar. Ini juga merupakan satu kelebihan bagi pelajar yang mahir menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk mendapatkan ilmu.


12. Perkara Tambahan
Antara perkara tambahan yang boleh juga dikira sebagai kelebihan naik Tingkatan 6 adalah boleh mengenakan pakaian biasa semasa menghadiri kelas. Selain daripada itu juga, disebabkan pelajar Tingkatan 6 merupakan pelajar paling dewasa dalam kalangan yang berada di sekolah, maka kebiasaannya mereka akan mendapat layanan yang berbeza berbanding pelajar-pelajar lain.


Walau apa pun juga laluan yang anda pilih, utamakan usaha anda bagi menggapai kejayaan. Kalau kena dengan caranya, maka laluan Tingkatan 6 ini mungkin merupakan pilihan terbaik anda!

kredit : Cikgu Mohd Radzif, SMK St Joseph, Kuching, Sarawak, Cikgu Nurbaida Akma, SMK Luar Bandar No.1 Sibu, Sarawak dan Cikgu Norzuraini Abdul Mutalib, SMK Kuala Perlis, Perlis